KUALA TERENGGANU, 20 Disember – Semua pantai dan sungai di kawasan peranginan Terengganu perlu dijauhi ketika ini kerana tidak selamat untuk aktiviti air terutama pada musim tengkujuh sekarang.
Ketua Polis negeri, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, orang ramai perlu peka terhadap keadaan cuaca dan persekitaran.
Katanya, sepanjang musim tengkujuh ini arus air lebih deras di samping ombak kuat berbanding kebiasaan sekali gus berisiko meragut nyawa jika berlaku kejadian tidak diingini.
“Setiap tahun, ada sahaja yang menjadi mangsa banjir, jadi kita minta ibu bapa mengawasi pergerakan ahli keluarga termasuk mengelakkan riadah atau jalan-jalan di sungai atau pantai.
“Walaupun kawasan itu sudah biasa dikunjungi, namun tetap berbahaya untuk sebarang aktiviti terutama pada musim tengkujuh,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Tamat Latihan & Penyampaian Sijil Pelantikan Pegawai Kor Sukarelawan Polis Siswa-Siswi (Kor Suksis) di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), di sini hari ini.
Seramai 328 pelajar UMT, Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun menerima sijil lantikan masing-masing selepas berjaya menamatkan latihan dengan cemerlang.
Dalam perkembangan sama, menurut Rohaimi, seramai 997 pegawai dan anggotanya terlibat dalam penugasan banjir kali ini bagi membantu penduduk yang terjejas di seluruh negeri.