• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Orang Ramai Diminta Tidak Sebar Berita Palsu Kebakaran Kilang Kemaman



Ahli Parlimen Kemaman, Alias Abdul Hamid mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan berita palsu mengenai kejadian kebakaran yang berlaku di sebuah kilang memproses tar di Kawasan Perindustrian Teluk Kalong, Kemaman, petang semalam.

Menurut beliau, tindakan sesetengah individu yang menyebarkan berita palsu di dalam laman sosial Facebook mengenai kematian pekerja yang terlibat dalam kejadian tersebut adalah sangat tidak bertanggungjawab.

"Tindakan sedemikian dilihat sebagai tidak bertanggungjawab kerana akan menimbulkan panik di kalangan penduduk khususnya di Bandar Chukai," katanya.


Menurut Alias lagi, sikap sesetengah individu yang menyebarkan berita palsu tersebut dilihat cuba mencari populariti sendiri berdasarkan kepada maklumat yang tidak tepat.

"Sepatutnya orang ramai perlu mendapatkan dan mengikuti maklumat dari sumber yang tepat seperti pihak polis dan pasukan penyelamat yang lain," katanya.


Alias ditemui ketika melawat pos operasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) di lokasi kejadian kebakaran kilang memproses tar di Kawasan Perindustrian Teluk Kalong, Kemaman, malam tadi.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasek, Ir Saiful Azmi Suhaili.

Sementara itu, Alias amat berpuas hati dengan kecekapan anggota keselamtan yang bertungkus- lumus menjaga keselamatan lokasi kejadian.
Menurut Alias, pihaknya akan sentiasa bersiap sedia menghulurkan bantuan kepada pihak berkuasa pada bila-bila masa.

"Kita telah menghulurkan bantuan makanan kepada petugas yang terlibat dan kita akan sentiasa bersiap sedia dari masa ke semasa," katanya.

Dalam kejadian pukul 6.15 petang itu, dua tangki yang menyimpan minyak mentah yang dipercayai berkapisiti 80 ribu liter terbakar semasa kerja-kerja mengimpal sedang dijalankan.

Dalam kejadian tersebut, tiga orang pekerja kontrak yang sedang melakukan kerja-kerja mengimpal cedera dan dihantar ke Unit Kecemasan Hospital Kemaman.




Tag: