• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

'Empangan Pecah' : Orang Ramai Jangan Panik

KUALA NERUS, 1 Oktober - Orang ramai diharap agar tidak panik dengan kenyataan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mengenai kemungkinan 'Empangan Kenyir pecah' pada musim Monsun Timur Laut (MTL) kali ini kerana ia hanyalah ramalan segala kebarangkalian dan tidak bermaksud akan benar-benar berlaku.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri Terengganu, Hanafiah Mat berkata, ia adalah pemberitahuan persediaan dan pelan pihak berkuasa berhubung segala kemungkinan.

Katanya, pelan tindakan itu sudah tersedia selepas NADMA menjangkakan hujan berlaku terlalu lebat dan limpahan air keluar dalam jumlah yang banyak.

"Orang ramai jangan panik, Tenaga Nasional Berhad (TNB) pun telah menyatakan bahawa Empangan Kenyir itu masih selamat dan terkawal. Tidak akan berlaku apa-apa, insya-Allah.

"Jadi, janganlah kita terlalu panik dengan ramalan itu, kita semua mendoakan dan buat sembahyang hajat agar ia tidak berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Dasar Wanita Terengganu Sempena Sambutan Hari Sayyidatina Aishah yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato' Siti Zailah Mohd Yusoff di Stadium Tertutup Gong Badak, kelmarin.

Baru-baru ini, Timbalan Ketua Pengarah (Bahagian Pelaksanaan Operasi) NADMA, Meor Ismail Meor Akim berkata walaupun teknologi mengatakan bahawa empangan tidak akan pecah, namun persiapan menghadapi sebarang kemungkinan tetap perlu dilakukan.

Beliau mengambil contoh kejadian empangan pecah yang berlaku di China dan Afrika sebelum ini dan berharap semua agensi termasuk anggota komuniti peka dan bersedia terhadap risiko bencana empangan tersebut.

Bagaimanapun kenyataan NADMA itu telah menimbulkan kegusaran dalam kalangan penduduk Terengganu terutama di laman sosial kerana bimbang impak banjir yang teruk sekiranya empangan buatan terbesar manusia di Asia Tenggara tersebut pecah