• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Orang Terengganu Percaya Tidak Sertai PAS Jadi Kafir?


“Masih ada orang Islam di Terengganu percaya bahawa orang UMNO dan orang lain yang tidak menyertai PAS kafir,” dakwa Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Dakwa beliau, itu antara sebab beliau mempersoalkan mengapa masih tiada golongan mufti menolak dakwaan PAS dan `Amanat Hadi’ (ucapan lama Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang)
Dakwa bekas Perdana Menteri selama 22 tahun itu, jika mufti tidak menolak dakwaan PAS dan `Amanat Hadi’, maka mereka juga akan jadi kafir kerana tidak menyatakan penolakan terhadap amanat itu.

“Mufti tidak harus terlibat dalam politik, tetapi apabila agama diperalatkan untuk politik dengan mengelirukan orang Islam, amatlah penting dan menjadi tanggungjawab mufti memberi penjelasan sama ada pendapat orang politik itu benar-benar berasas kepada Islam.

“Hakikatnya jika orang bukan PAS temasuk saya dianggap kafir, maka mufti juga boleh dikatakan kafir kerana tidak menyertai PAS. Jika ‘Amanat Hadi’ diterima mufti bekerja dan menjadi pegawai dalam kerajaan kafir, benarkah?” dakwanya.

Beliau berkata demikian dalam satu surat yang ditujukan kepada akhbar Utusan Malaysia. Mahathir meminta Utusan Malaysia menyiarkan kandungan suratnya itu dalam akhbar berkenaan.

Pemimpin PAS hari ini menyangkal dakwaan Mahathir bahawa `Amanat Hadi’ menyatakan orang UMNO sebagai kafir sebaliknya cuma menjelaskan perkara yang boleh membatalkan syahadah sepanjang perimtahan Mahathir.


Ungkapan menghina Islam seperti kalau hukum potong tangan dilaksanakan maka kudung semua tangan orang Islam dan kalau laksana hukuman rejam, maka habis batu di jalanan antara ungkapan yang menjadikan seorang muslim jatuh kufur.

Tag: