• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

'Orang Yang Ada Iman, Sanggup Dihukum di Dunia' - Abdul Hadi

KUALA LUMPUR, 13 September - "Orang yang ada Iman, dia sanggup terima hukuman di dunia, jangan di akhirat,” ujar Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Abdul Hadi mengulas mengenai itu setelah menjawab celahan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang bertanyakan berkait isu hukum melepas tanpa membebaskan.

Ahli Parlimen Marang itu berkata dalam akidah Islam mempunyai dua mahkamah iaitu dunia dan akhirat.

“Walaupun dia lepas di mahkamah dunia, namun tidak lepas mahkamah akhirat,” katanya semasa membahaskan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat hari ini.

Tambah Abdul Hadi, sudah banyak kali beliau dipanggil memberi keterangan sama ada di pejabat atau pun di Ibu pejabat Polis Bukit Aman selepas laporan polis dibuat ke atasnya. 

“Bagaimanapun, saya beri layanan sebaik-baiknya kepada polis dan mereka juga beri layanan baik kepada saya.

“Saya sedia menunggu untuk dibicarakan di mahkamah dan saya sedia dihukum.

“Tidak tahu dihukum sama ada penjara atau denda, namun saya pilih penjara.

“Daripada denda lebih baik duit itu disalur kepada Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti),” ujarnya.


Tag: