• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Outreach Masyarakat Luar Bandar Beri Impak Positif

HULU TERENGGANU, 3 Julai - Program Outreach Vaksinasi COVID-19 yang dilaksanakan oleh Kerajaan Terengganu memberi impak positif dengan peningkatan jumlah penduduk luar bandar yang bersetuju untuk divaksin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim berkata, kehadiran masyarakat pedalaman yang bersetuju untuk divaksin menunjukkan tahap kesedaran terhadap suntikan vaksin Covid-19 semakin meningkat dengan kehadiran 100 peratus.

"Kerajaan adakan program Outreach Vaksinasi COVID-19 bagi memberikan kemudahan kepada orang ramai khususnya mereka yang tinggal diluar bandar menerima vaksin.

 “Saya yakin apabila program pemberian vaksin kepada rakyat dapat dilaksanakan sepenuhnya kehidupan kita akan kembali normal dan pelbagai sektor yang terjejas akibat penularan Pandemik Covid-19 akan kembali pulih” katanya ketika ditemui selepas menghadiri program outreach Vaksinasi Covid -19 di SMK Landas.


Sementara itu, beberapa penerima vaksin COVID-19 turut melahirkan rasa gembira dan lega setelah menerima suntikan bagi mewujudkan imunisasi kelompok sekali gus dapat menghentikan pandemik itu.

Bagi Mariana Mohamad, 45,  dia rasa gembira selepas menerima suntikan vaksin COVID-19 dan mengakui banyak manfaat diperoleh apabila menerima vaksinasi tersebut.

“Suntikan ini adalah untuk kebaikan semua masyarakat setempat dan terutama ahli keluarga kerana kita dapat lindungi mereka.

"Kalau kita tidak menerima suntikan, kita tidak tahu sama kita dijangkiti atau pun tidak tetapi jika kita telah divaksinasi, antibodi kita menjadi kuat dan tubuh kita dapat bertahan meskipun dijangkiti," ujarnya.

Sementara itu, Mohd Sabri Jusoh, 68, menyatakan penghargaan kepada pihak kerajaan yang berusaha memastikan masyarakat luar bandar turut menerima suntikan vaksin COVID-19.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan kerana bersusah payah memberi vaksin kepada penduduk seperti kami di kawasan kampung, jadi kita tidak perlu keluar hanya tunggu sahaja di kampung, pihak KKM datang untuk memberi suntikan vaksin,” katanya.


Seorang lagi penerima, Siti Mariam Zakaria, 52, memberitahu program tersebut ternyata memudahkan masyaraka luar bandar untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.

“Oleh itu, saya nak ucapkan terima kasih kepada pihak KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) kerana menjadikan proses suntikan juga sangat cepat dan lancar terutamanya untuk warga emas seperti kami.

“Program ini diadakan dekat dengan rumah jadi kami tidak perlu pergi jauh dan tidak menunggu lama untuk dapatkan suntikan vaksin,” tambahnya.