• 30 Apr 2024 | 21 Syawal 1445

'Pabuk' Hindari Terengganu

Pergerakan 'Pabuk' terkini.
KUALA TERENGGANU,  4 Januari - Negeri Terengganu boleh dikatakan terselamat dari ancaman Ribut Tropika Pabuk apabila ia bergerak ke arah barat laut Telok Siam.

Ribut ini dijangka bergerak merentasi Segenting Kra ke Laut Andaman dan keadaan ini boleh menyebabkan hujan lebat di negeri-negeri utara Semenanjung, lapor Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) hari ini.

Cuaca bandar Kuala Terengganu cerah dan tiada hujan pagi tadi manakala suhu diukur pada kadar 29 Darjah Celsius.

Dato' Haji A Rahman (tiga dari kanan) menunjukkan pergerakan Ribut Tropika Pabuk di Bilik Gerakan Bencana Negeri di Jalan Paya Keladi Kuala Terengganu petang semalam.
Bagaimanapun petang semalam,  Setiausaha Kerajaan Negeri,  Dato' Haji A Rahman Yahya ketika ditemui pemberita memperingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada menghadapi segala kemungkinan cuaca buruk akibat fenomena ribut tersebut.

Kerajaan negeri sentiasa memantau kesan fenomena berkenaan dan akan menggerakkan asetnya bagi membantu penduduk yang ditimpa musibah.

Katanya,  kerajaan negeri menyediakan peruntukan khas untuk meringankan beban rakyat yang menghadapi bencana akibat tempias ribut berkenaan.

"Jumlah kerugian dan kerosakan keseluruhan bencana akan dinilai dan bantuan sewajarnya akan diberikan selepas selesai musim tengkujuh," katanya.


Dato' Haji A Rahman Yahya (dua dari kiri).
Manakala bantuan segera diberikan kepada penduduk yang rumah mereka rosak akibat tempias ribut berkenaan melalui saluran pejabat daerah di seluruh negeri.

Beliau turut melawat Bilik Gerakan Bencana Negeri Terengganu,  di Jalan Paya Keladi di sini bagi meninjau perkembangan terkini fenomena itu.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu,  Leftenan Kolonel  Che Adam A Rahman turut memberi taklimat perkembangan terkini bencana negeri berkenaan kepada Dato' Haji A Rahman.

Tag: