• 25 Nov 2020 | 9 Rabiul Akhir 1442

Padang Bola Bukit Gasing Siap Mac Depan

MARANG, 23 Oktober - Padang Bola baru dilengkapi astaka dan dataran yang kini sedang giat dibina di Kampung Bukit Gasing dijangka siap menjelang Mac depan.

Padang itu merupakan projek pembangunan di bawah peruntukan Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang.

Pegawai Khas Menteri Besar, Sabri Zakaria berkata, pembinaan kemudahan prasarana tersebut mendapat perhatian daripada Ahmad Samsuri setelah beliau sendiri turun melihat kawasan padang yang ketika itu berada dalam keadaan yang agak teruk.

"Melihat kepada keperluan berkenaan, beliau telah bersetuju menaik taraf padang Bukit Gasing di samping menjadikannya sebagai Akademi Bola Sepak DUN Rhu Rendang yang bakal menjadi pusat latihan bola sepak bagi mencungkil bakat anak muda untuk peringkat yang lebih tinggi.

"Dengan pembangunan yang dijalankan, penggunaan padang ini boleh dimanfaatkan oleh semua rakyat di seluruh DUN Rhu Rendang, bukan sahaja hanya tertumpu untuk penduduk Bukit Gasing," katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman ketika meninjau keadaan padang semalam.

Sementara itu, seorang pemuda berasal kampung Bukit Gasing, Abd Rahman Awang, 30, menyatakan perasaan yang sangat gembira dan bersyukur atas pembinaan padang tersebut.

“Mewakili anak muda di sini, yang telah lama mengharapkan kemudahan lengkap seperti ini, ianya adalah satu hadiah yang cukup besar dan bermakna.

"Penduduk sekitar juga boleh menggunakan padang yang serba lengkap ini kerana di sini tiada dewan serbaguna lain sebagai tempat melakukan aktiviti besar seperti acara tahunan iaitu Hari Keluarga.

"Sebelum ini, padang sedia ada tidak rata, berlopak, menyebabkan timbul pelbagai kekangan untuk melakukan aktiviti dan riadah," tambahnya lagi.


Tag: