• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Paip Pecah Di Lokasi Berlainan Punca Gangguan Air

KUALA TERENGGANU, 24 Ogos - Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) telah mengesan punca gangguan bekalan air di dasar Sungai Kuala Terengganu yang mendapati paip sama yang pecah pada lokasi berlainan berbanding kejadian pada awal Ogos lalu.

Menurut kenyataan rasmi pengurusannya, kerosakan luar jangkaan tersebut berlaku paip bersaiz 1,200mm yang membekalkan air ke Tangki Utama Berangan dari Loji Kepong menyebabkan 28,700 terjejas bekalan.

“Antara 25 lokasi terlibat di daerah Kuala Nerus adalah keseluruhan Gong Badak, Perindustrian Gong Badak. Alur Jambu, Tok Jembal, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Tepoh, Padang Hangus dan Pagar Ubi.

“Manakala di Kuala Terengganu melibatkan 11 lokasi iaitu Buluh Gading, Kampung Banggol Tuan Muda, Petai Bubus, Paya Datu, Jeram, Kampung Manir, Sebahagian Banggol Peradong, Kampung Manir, Kampung Tualang, Kampung Kebor Air dan Kampung Telok Menara,” katanya menerusi kenyataan media, petang tadi.

Dalam memastikan bekalan asas tidak terputus, pihak SATU telah mula menggerakkan bantuan bekalan air melalui lori tangki bermula hari ini pada jam 12 tengahari ke kawasan yang terjejas.

“Tujuh buah lori tangki digerakkan segera dan akan ditambah dari masa ke semasa. Kedudukan tangki statik dan pengisian air adalah mengikut penjadualan sebelum ini,” katanya lagi.

Terdahulu, setiap wakil rakyat dan pegawai penyelaras di Dewan Undangan Negeri (DUN) terjejas telah dikerah bagi memasang 150 tangki statik bagi meneruskan bekalan air bersih buat penduduk.

Kerajaan negeri turut memperkemaskan langkah susulan dan menambah baik beberapa aspek penyelenggaraan Syarikat Air Terengganu (SATU) antaranya tumpuan utama dalam memastikan pembinaan Loji Bukit Berapit dengan jangkaan paling awal Loji Bukit Berapit siap beroperasi pada 31 Ogos 2021 berkeupayaan 60mld.