• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

'Pamer Harga RM8.90, Tapi Jual Lebih Mahal'

KUALA TERENGGANU, 7 April - Beberapa peniaga ayam di daerah ini dikenakan kompaun RM500 hari ini kerana menjual ayam melebihi harga ditetapkan selain mengelirukan pembeli.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri, Saharuddin Mohd Kia berkata, mereka dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 selepas aduan dibuat orang ramai.

Katanya, kompaun RM500 adalah paling minima berbanding pelbagai kesalahan yang mereka lakukan.

"Mereka mengelirukan pengguna dengan mempamerkan harga maksimum ditetapkan iaitu RM8.90 sekilogram, tetapi menjualnya melebihi harga ditetapkan, kita tidak mahu ada penipuan terhadap pengguna.

"Peniaga ayam segar juga gagal membuktikan harga yang dibeli daripada pemborong dan pembekal melebihi paras ditetapkan iaitu RM7.60," katanya pada sidang media selepas melakukan pemantauan harga di bazar Ramadan Batu Buruk, di sini, hari ini.

Saharuddin berkata, beliau telah meminta peniaga ayam agar tidak melindungi nama pemborong dan pembekal yang didakwa menjual ayam melebihi harga ditetapkan.

Katanya, KPDNHEP tidak dapat menyiasat dakwaan itu jika tidak mendapat kerjasama dan maklumat daripada peniaga.

"Ketika Ops Pantau diadakan, mereka gagal membuktikan harga belian ayam daripada pemborong dan pembekal sebagaimana didakwa.

"Tindakan dikenakan ke atas peniaga ayam selepas KPDNHEP negeri menerima aduan daripada orang ramai yang kecewa dengan harga yang mengelirukan," katanya.

Dalam masa yang sama Saharuddin turut menafikan pihaknya hanya mengenakan tindakan kepada peniaga dan membiarkan pemborong bermaharajalela melakukan kesalahan.

"Sebagai contoh dalam Ops Pantau bermula 3 hingga 7 April kita turut kenakan tindakan kepada satu pemborong," tegasnya.


Tag: