• 30 Nov 2020 | 14 Rabiul Akhir 1442

Pantai Pulau Kekabu Ditutup Setiap Hari Minggu

MARANG, 10 Oktober - Pantai Pulau Kekabu akan ditutup sementara pada setiap hari minggu bermula semalam selepas peningkatan kes pandemik COVID-19 di Terengganu.

Yang Dipertua Majlis Daerah Marang, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat ekoran kehadiran pengunjung yang terlalu ramai pada hari minggu.

"Ini menyebabkan pihak MDM khuatir akan berlaku peningkatan kes akibat daripada prosedur operasi standard (SOP) yang tidak dipatuhi oleh orang awam," jelasnya ketika dihubungi wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini.

Menurutnya lagi, langkah itu juga diambil kerana wujud kluster baharu, iaitu Kluster Bah Sahabat yang dikenalpasti di daerah ini.

"Penutupan Pulau Kekabu adalah berkuatkuasa pada hari minggu sahaja, bukan setiap hari namun sebarang perubahan akan dimaklumkan dari masa ke semasa," tambahnya.

Pusat rekreasi keluarga itu kembali menjadi tumpuan pelancong sebaik tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) tamat sehingga menyebabkan kesesakan dan agak sukar dikawal.

Sebelum ini, pihak MDM juga telah menetapkan peraturan kepada semua pengunjung iaitu perlu mengosongkan kawasan perairan pantai pada jam 6.30 petang.

 


Tag: