• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

PAS Cadang PRK Kuala Terengganu Diadakan Serentak Dengan PRN

KUALA TERENGGANU, 8 Julai -Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu dicadangkan diadakan serentak dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri, susulan keputusan PAS tidak mengemukakan rayuan terhadap petisyen pilihan raya bagi Parlimen tersebut.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, keputusan PAS tersebut dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat di sini, hari ini.

Katanya, PAS juga berbincang tentang perkara tersebut mengikut aspek perundangan dan berharap pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh mengadakan PRK itu serentak dengan PRN.

“Kita ada tiga minggu lagi sebelum penamaan calon. Kita yakin SPR mempunyai kemahiran dan kecekapan untuk selesaikan serentak pada tarikh sama,” katanya ketika  demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat di sini, hari ini.

Takiyuddin memberitahu, PAS mengambil keputusan tidak mahu mengemukakan petisyen tersebut kerana tempoh untuk menyelesaikan rayuan pestisyen itu mengambil masa lima hingga enam bulan dan rakyat di kawasan tersebut akan terabai.

 “Kita ada dua pilihan sama ada kita merayu atau kita tidak merayu, sekiranya kita merayu, kita perlu menunggu masa lebih lama lagi,  untuk tempoh enam bulan pada tarikh dimansuhkan baru boleh diselesaikan di peringkat Mahkamah Persekutuan.

“Jadi  kita merasakan sebagai sebuah parti yang bertanggungjawab dan sebuah kerajaan yang memerintah negeri ini, kita tidak mahu rakyat terabai.

“Sebab dalam tempoh lima atau enam bulan ini, tidak ada Ahli Parlimen (Kuala Terengganu). Itu antara salah satu sebab (tak buat rayuan), menunjukkan Perikatan Nasional (PN) mempertimbangkan kepentingan rakyat,” katanya.

Mengulas tentang peluang PAS mengekalkan kemenangan di Parlimen Kuala Terengganu, beliau berkata pihaknya optimis parti itu akan terus mendapat sokongan rakyat.

“Kita bukan takbur, tapi berdasarkan sokongan di peringkat rakyat jelata, memang kita optimis (boleh menang). Kita mengharapkan apabila kita buat keputusan tidak merayu, pihak SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) boleh mengadakan PRK itu serentak dengan PRN.

“Kita ada tiga minggu lagi sebelum penamaan calon. Kita yakin SPR mempunyai kemahiran dan kecekapan untuk selesaikan serentak pada tarikh sama,” katanya.

Pada 27 Jun lalu, Mahkamah Pilihan Raya Kuala Terengganu membatalkan  kemenangan calon PAS, Ahmad Amzad Hashim di Parlimen Kuala Terengganu pada PRU15.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd. Firuz Jaffril, membenarkan petisyen pilihan raya difailkan calon Barisan Nasional (BN), Mohd. Zubir Embong, selepas pihak pempestiyen berjaya membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika kempen PRU15.

Bagaimanapun, dalam satu lagi petisyen, parti itu mengekalkan kemenangannya bagi kerusi Parlimen Marang yang dimenangi oleh Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Suruhanjaya Pilihan Raya pada Rabu lepas mengumumkan PRN di keenam-enam negeri diadakan serentak pada 12 Ogos dengan penamaan calon ditetapkan pada 29 Julai dan pengundian awal pada 8 Ogos.