• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

PAS Harap Nama Calon PRU-15 Tak Berubah

KUALA TERENGGANU, 1 November - Perubahan nama calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak mustahil masih boleh berlaku sehingga tiba hari penamaan calon pada 5 November ini.

Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, PAS seboleh-bolehnya cuba mengelak daripada berbuat demikian dengan menjadikan senarai itu sebagai kalis ubah.

“Kebiasaannya apabila kita mencadangkan nama-nama calon untuk diangkat sebagai calon pada hari penamaan nanti, kita berusaha sebaik mungkin supaya ia ‘kalis ubah’ supaya tidak berlaku lagi perubahan.

“Tetapi, realiti yang berlaku, kadang kala ada juga dalam keadaan tertentu yang luar daripada jangkaan kita yang menyebabkan kerusi-kerusi tertentu itu berlaku perubahan. 

“Jadi nak kata tidak ada tu, kita tak boleh janji lah, tapi kita seboleh mungkin kita usaha ia kalis ubah. Boleh berlaku perubahan dan boleh juga tidak berlaku.

“Jadi selagi tidak tiba pada hari penamaan calon, ada lagi ruang-ruang penambahbaikan di kerusi tertentu sekiranya ada, jika tak mendatangkan apa-apa masalah, ia akan diteruskan dengan senarai sedia ada,” katanya

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Pembukaan Jalan Pintas Kuala Terengganu (KT Bypass) yang disempurnakan oleh Menteri Kanan Kerja Raya, Dato’ Seri Fadillah Yusof di sini, hari ini.