• 16 Apr 2024 | 7 Syawal 1445

PAS Kecewa Dengan Keputusan UMNO

KUALA TERENGGANU, 7 November - PAS merasa kecewa dengan tindakan UMNO yang mengumumkan untuk bertanding semua kerusi secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.

Timbalan Presidennya, Dato Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perbincangan yang panjang hasil inisiatif semua pihak pada awalnya menunjukkan keputusan positif namun dihujungnya gagal.

"Pertemuan dan perbincangan pada peringkat awal sangat positif tetapi apabila UMNO mengumumkan akan bergerak solo di PRN Melaka, kami kecewa sebab usaha penyatuan gagal pada saat akhir.

"Sebenarnya pada peringkat awal kita runding menggelak pertembungan kerusi tapi kerana UMNO buat keputusan bertanding semua, maka kita tidak ada  pilihan dan terpaksa meletakkan calon PN," ujarnya.

Beliau berkata demikian di sidang media Muktamar Tahunan PAS di Duyung Marina Resort, di sini hari ini.

Dalam pada itu ketika mengulas pengumuman calon PN petang tadi yang mana PAS akan bertanding  lapan kerusi di  PRN Melaka, Tuan Ibrahim berkata PAS berpuas hati kerana ia telah dipersetujui bersama dalam rundingan peringkat awal.

"Kita telah bincang agihan kerusi bersama Bersatu dan Gerakan maka tak timbul rasa tidak puas hati kerana setiap parti bertanding sebagai satu pasukan.

"PAS akan bertanding atas tiket parti dan menggunakan bendera PN,"ujarnya lagi.

Bagaimanapun, Tuan Ibrahim menolak dakwaan pertembungan di Melaka merupakan bayangan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), sebaliknya menjadi indikator kepada beberapa perancangan di masa depan.

“Kita ada PRN Sarawak selepas ini dan bagi PAS serta PN kita ada banyak ruang untuk berbincang sebelum PRU-15.

“Kita bersedia berbincang dengan semua parti-parti politik bukan sahaja UMNO  tetapi pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Pas sebagai komponen dalam Keluarga Malaysia berperanan ke arah masa pembentukan masa depan lebih harmoni,” katanya.

Terdahulu, PAS akan bertanding di lapan kerusi DUN dalam PRN Melaka pada 20 November ini iaitu Kuala Linggi, Taboh Naning, Durian Tunggal, Bukit Katil, Duyong, Serkam, Kelebang dan Merlimau.