• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Pas Tampil 30 Peratus Calon Baharu Pada PRN

KUALA TERENGGANU, 8 Julai - Pas akan mempertaruhkan sebanyak 30 peratus calon muka baharu untuk bertanding di 126 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung pada 12 Ogos depan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, di samping muka baharu, Pas juga akan pertaruhkan 70 peratus calon muka lama yang telah dimuktamadkan.

Katanya, Pas juga akan meletakkan calon wanita di PRN enam negeri nanti sebagai pengiktirafan terhadap jasa dan sumbangan golongan tersebut.

"Senarai calon-calon Pas sudah diteliti, namun hanya akan dimuktamadkan menjelang hari penamaan calon pada 29 Julai depan.

“Rundingan agihan kerusi bagi parti-parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) telah selesai dan kini,fokus adalah untuk menyenaraikan calon-calon bagi kerusi yang akan kita tandingi. 

“Pada dasarnya, Pas ada dua atau tiga calon bagi setiap kerusi dan kesemua mereka mesti lulus setiap kriteria yang ditetapkan Majlis Syura Ulama, namun pada akhirnya hanya seorang yang akan dipilih,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat di sini, hari ini.

Sebelum ini, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan gabungan itu akan bertanding di 245 kerusi pada PRN kali ini.

Daripada jumlah itu, 83 kerusi akan ditandingi Bersatu, 126 (Pas) dan 36 (Gerakan).

Takiyuddin juga berkata, jentera parti itu kini telah bersiap siaga dalam memastikan kelancaran sepanjang tempoh kempen dan hari pengundian.

"Dari segi persiapan PRN pula, enam negeri telah buat persiapan dan sudah mantap. Kita akan gabungkan jentera pilihan raya Pas dengan jentera Bersatu dan Gerakan yang akan bersama-sama bekerja untuk PN," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya pada Rabu lepas mengumumkan PRN di keenam-enam negeri diadakan serentak pada 12 Ogos dengan penamaan calon ditetapkan pada 29 Julai dan pengundian awal pada 8 Ogos.