• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

PAS Tetap Tolak Usaha Jajaran Baharu Dalam Politik

KUALA TERENGGANU, 6 November - PAS mengulangi pendirian menolak apa jua usaha untuk membentuk penjajaran baharu dengan pelbagai jenama atau perubahan yang dicadangkan.

Presidennya, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata Muafakat Nasional (MN) baru sahaja ditubuhkan mengikut acuan asal yang lengkap sebagai pendahuluan mengikut piagam yang terbuka bukan tertutup.

"Dalam pada itu, kita berjaya menubuhkan PN yang lebih terbuka dan kuat, sehingga berjaya mengambil alih Kerajaan Persekutuan, laksana menanam benih yang baru tumbuh dengan subur. 

"Maka, sebarang cadangan lain laksana tumbuhan liar yang mesti dihapuskan atau makhluk perosak yang wajib dimusnahkan," ujar Abdul Hadi.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan  ucapan dasar dan merasmikan Muktamar Tahunan PAS di Duyung Marina Resort, di sini hari ini.

Dalam masa yang sama, beliau berkata PAS juga enggan dikurung dalam sebarang permuafakatan yang tertutup dan menjadi penumpang dalam perjalanan politik tanah air. 

Sebaliknya, Abdul Hadi berkata, parti itu perlu menjadi pemimpin bersama rakan-rakan sehingga berjaya menarik sokongan rakyat bagi menyelamatkan negara bersama Islam yang telah diperkenalkan oleh PAS.