• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

PAS Tidak Pernah Berhasrat Keluar MN - Tuan Ibrahim

KUALA TERENGGANU, 7 November - PAS tidak pernah melahirkan hasrat untuk keluar daripada Muafakat Nasional (MN) kerana gabungan itu mempunyai matlamat yang besar hasil daripada pemeteraian piagam pada 14 September 2019.

Timbalan Presidennya, Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata MN ialah penyatuan ummah antara parti politik Melayu Islam terbesar di Malaysia yang tidak hanya dengan UMNO.

"MN merupakan agenda besar dan gagasan yang tidak berdaftar seperti Perikatan Nasional (PN).

"Walau bagaimanapun, PAS tidak pernah berniat untuk keluar dari MN dan kita harap bahawa pertemuan, perbincangan dapat diteruskan daripada masa ke semasa demi kebaikan semua pihak," ujarnya.

Beliau berkata demikian di sidang media Muktamar Tahunan PAS di Duyung Marina Resort, di sini hari ini.

Sementara itu, Tuan Ibrahim juga berkata, PAS akan mengekalkan sumpah baiah kepada calon mereka yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini.

Beliau berkata setiap calon yang bertanding menggunakan nama PAS, perlu melafazkan baiah sebagai janji mengikut segala syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh parti.

"Semua calon pas baiah kepada parti dan istiqamah tidak akan keluar parti sekiranya mereka menang malah PAS konsisten menentang agenda lompat parti,"katanya.