• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

PAS Umum 10 Tawaran Hadapi PRN

KUALA TERENGGANU, 11 Julai – Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menambah dua lagi tawaran sekali gus melengkapkan 10 tawaran bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lepas sebanyak 20 manifesto berjaya dilaksanakan dalam tempoh lima tahun mentadbir negeri ini.

Katanya, untuk lima tahun yang akan datang terdapat 10 tawaran yang ingin dilaksanakan.

"Antaranya, menaja caruman skim keselamatan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk suri rumah.

“Seterusnya, menyediakan kemudahan pinjaman pembelian motosikal untuk kerjaya tanpa riba maksimum RM4,000,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika Jelajah Mega Perikatan Nasional (PNBEST) dan Himpunan Teguh Pertahan di dataran Jambatan Angkat Kuala Terengganu di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan beberapa lagi pemimpin Perikatan Nasional lain.

Tambah Ahmad Samsuri, sebelum ini parti itu telah mengemukakan lapan manifesto dalam beberapa siri program bertemu rakyat.

“Antaranya ialah membina ‘township mosque’ sebagai masjid yang baharu dan lengkap dengan fasiliti merangkumi ekonomi, sukan, rekreasi, pendidikan, sosial, komuniti, kesihatan dan kebajikan.

“Tujuh lagi tawaran iaitu menyediakan khairat kematian sebanyak RM500, menyediakan tabung geran usahawan belia sebanyak RM5 juta, menyiapkan jalan raya berkembar pantai Terengganu dari Kemaman hingga ke Besut dan menaja caruman skim keselamatan Perkeso untuk suri rumah,” ujarnya.

Beliau berkata, PAS turut berjanji untuk menyediakan tabung bantuan pertanian, penternak dan nelayan sebanyak RM5 Juta.

Selain itu, mewujudkan pusat tafaqquh fiddin di setiap daerah dan menjadikan Terengganu negeri pengeluar makanan negara dengan peruntukan sebanyak RM100 juta.

 


Tag: