Kerjasama Kerajaan Negeri, Persekutuan Pacu Pembangunan Pelancongan
KUALA TERENGGANU, 22 November – Kerosakan landskap di Taman Awam Lagun Kuala Ibai di sini menjadi punca lapan unit ‘bollard’ dipasang.
Datuk Bandar Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu (MBKT), Shahidan Embok menegaskan, langkah memasang ‘bollard’ akan menghalang kenderaan daripada memasuki kawasan landskap pusat rehat dan rekreasi tersebut.
“Banyak landskap lembut dan kejur telah rosak disebabkan kenderaan pengunjung.
“Selain untuk mengelakkan kenderaan yang memasuki kawasan itu dihempap pokok dalam musim tengkujuh sebagaimana terjadi di kawasan lain sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini.
Mengulas lanjut, Shahidan walau bagaimanapun menjelaskan pemasangan empat daripada lapan ‘bollard’ itu hanyalah bersifat sementara.
“Ia bersifat sementara dan kekal, empat kekal dan empat lagi boleh dipindah bagi membolehkan kenderaan penyelamat dan penyelenggaran untuk memasuki kawasan tersebut,” tambah beliau.
Semalam, pemasangan ‘bollard’ itu tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi daripada masyarakat.
Perkara itu turut mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Muhammad Khalil mengadakan perbincangan segera dengan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar bagi mencari penyelesaian terbaik dalam isu terbabit.
“Perkara ini diberi perhatian yang serius oleh pihak kami dan semoga penyelesaian yang diperolehi akan menguntungkan semua pihak,” jelasnya.
Difahamkan empat 'bollard' sementara telah dipindahkan manakala selebihnya masih dikekalkan.