• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Pasang Jeriji Demi Keselamatan Mak Ngah

MARANG, 31 Januari - Demi keselamatan seorang warga emas, Fatimah Puteh yang tinggal seorang diri, usaha memasang jeriji telah dilakukan oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), di Kampung Kelulut, di sini.

Sebelum ini, Fatimah atau lebih dikenali Mak Ngah, 67, pernah mengadu kepada pihak JPKK Kelulut, bahawa ada cubaan memecah masuk ke dalam rumahnya melalui tingkap dapur yang dicungkil oleh pencuri.

"Alhamdulillah, dengan memasang jeriji di setiap tingkap rumah ini, saya rasa lebih selamat apabila tinggal di rumah ini lebih-lebih lagi dengan keadaan seorang diri.

"Terima kasih diucapkan kepada pihak JPKK yang sudi datang membantu," katanya yang juga berstatus ibu tunggal.

Sementara itu, Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, pihaknya telah berbincang dengan JPKK untuk memasang jeriji bagi menjaga keselamatan Mak Ngah.

"Pihak PKM juga telah bersetuju untuk menanggung segala kos pemasangan, katannya ketika hadir meninjau keadaan Mak Ngah bersama-sama Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Marang.

"Sebelum ini, kita jarang mendapat aduan seperti ini, tetapi kita mengambil perhatian serius atas permintaan bantuan daripada setiap golongan masyarakat mengikut keutamaan.

"Dalam makluman saya, bantuan berbentuk seperti ini adalah pertama kali disalurkan, tetapi jika diteliti adalah sangat penting bagi mengelakkan cubaan pecah masuk rumah berlaku selepas ini.

"Kita juga harap Mak Ngah dapat menjaga keselamatannya walaupun tinggal seorang diri, di samping boleh mendapatkan bantuan daripada JPKK sekiranya berlaku kecemasan atau perkara tidak diingini."

Menurutnya lagi, selain daripada bantuan jeriji tersebut, beliau juga membawa agensi JKM untuk menyerahkan bantuan keperluan asas di samping menyalurkan bantuan seperti bantuan am warga emas.


Tag: