• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Pasangan Suami Isteri Terima Diploma Arwah Anak

KUALA NERUS, 27 Januari- Pasangan Ahmad Badri Abd Wahid, 54, dan Zubaidah Mohd Yusof, 54, menzahirkan rasa gembira kerana dapat menghadirkan diri mengambil diploma anak ketiga mereka pada Majlis Idul Ilmi Konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) kali ke-12 di Dewan Al Muktafi Billah Shah, Kuala Nerus, hari ini.

Ahmad Badri, yang bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Bedena, Selangor menerima diploma bagi pihak anaknya, Ahmad Wafi, 22, graduan Diploma Pengajian Islam (Al Quran dan As Sunnah) yang meninggal dunia pada 9 Disember 2020 akibat serangan jantung ketika bermain futsal. 

Ketika itu, Ahmad Wafi sedang menyambung pengajian di peringkat Sarjana muda Usuluddin dengan Kaunseling untuk semester pertama di UniSZA pulang ke kampungnya di Sungai Besar kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ahmad Badri berkata, walaupun sedih kerana tidak dapat melihat arwah mengambil sendiri, dia dan isterinya gembira kerana arwah tetap mengharumkan nama keluarga walaupun dia sudah tiada.

"Kami teruja untuk hadir ke majlis hari ini  dan seronok melihat rakan-rakan arwah meraikan kejayaan masing-masing meskipun anak saya tiada bersama.

"Dia anak yang baik dan tidak menyusahkan. Saya bangga dengan dia sebab memilih pengajian dalam bidang agama sama seperti saya dan isteri,” katanya.

Diploma berkenaan telah disampaikan Naib Canselor UniSZA, Prof. Dr. Fadzli Adam.

Seramai 3,345 graduan UniSZA diraikan dalam majlis konvokesyen yang berlangsung selama lima hari bermula Ahad lalu.