• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Pasangan Suami Isteri Warga Emas Maut Dalam Kemalangan Di LPT2

HULU TERENGGANU, 19 Jun – Sepasang suami isteri warga emas maut manakala anak lelaki mereka cedera parah selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka terlibat kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 392.9 Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2) berhampiran Ajil di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 9 malam tadi, mangsa, Mohd Ghani, 68, yang merupakan pesara kerajaan  dan Minah Abdullah, 69, yang berasal dari Kampung Tok Rimau, Pengadang Buluh Kuala Terengganu maut di tempat kejadian dipercayai akibat kecederaan parah  di bahagian kepala dan beberapa anggota badan.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, DSP Hasmeera Hassan berkata siasatan awal mendapati kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mangsa dengan anak lelakinya datang dari arah Kuantan menuju ke Pengadang Buluh, Kuala Terengganu manakala treler pula dari arah Kuantan ke Kota Bharu.

“Ketika di lokasi kejadian, kenderaan pacuan roda terbabit telah merempuh treler yang berada di lorong kiri dari arah belakang.

"Rempuhan tersebut menyebabkan kerosakan teruk pada bahagian hadapan kenderaan pacuan empat roda manakala treler yang membawa muatan hampas kelapa sawit hanya pecah tayar kanan dan bengkok besi belakang.

"Pemandu dan kelindan treler tidak mengalami sebarang kecederaan manakala pemandu kenderaan pacuan empat roda patah kaki kiri dan kanan,”katanya kepada pemberita.

Hasmerra berkata, mayat Mohd. Ghani dan Minah kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu di sini untuk tindakan lanjut

Menurut beliau kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.