• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Pasar Besar Kedai Payang Baharu Bakal Operasi Tidak lama Lagi

KUALA TERENGGANU, 5 Julai- Kompleks baharu Pasar Besar Kedai Payang, telah siap sepenuhnya dan dijangka akan memulakan operasi selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi. 

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Rosli Latif memaklumkan, pihak kontraktor akan menyerahkan projek pembinaan semula pusat sehenti produk Terengganu itu yang telah bermula sejak lima tahun lalu kepada Kementerian Pembangunan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada 19 Julai ini. 

"Setakat ini, jumlah peniaga yang akan berpindah ke kompleks baharu belum diperincikan dan kita akan melihat semula mengenai perancangan dan aktiviti peniaga yang beroperasi di kompleks sementara ketika ini, "ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada taklimat pelaksanaan Program Payang Walk dan Operasi Beca Warisan di Menara Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman.

Rosli dalam laporan media sebelum ini menyatakan, projek pembinaan Pasar Besar Kedai Payang yang menelan belanja RM69.3 juta itu bakal menempatkan semula 500 peniaga yang kini berada di kompleks sementara yang terletak bersebelahan.

Jelas beliau, wajah baharu pusat sehenti yang menjadi destinasi wajib kunjungan pelancong ke bandar raya tersebut turut dilengkapi pelbagai kemudahan seperti penyaman udara, lif, tandas, eskalator dan bilik persalinan bayi.

“Sebuah menara jam yang pernah menjadi mercu tanda Pasar Besar Kedai Payang pada awal kewujudannya juga dibina semula bagi membangkitkan nostalgia lama.

“Kompleks ini akan mengukuhkan peranan Pasar Besar Kedai Pa¬yang sebagai pusat sehenti bagi kegiatan ekonomi, pelancongan dan kebudayaan Terengganu,” ujarnya.

Pasar besar itu yang mula beroperasi pada 31 Ogos 1968 telah dirasmikan oleh Sultan Terengganu ke-16 iaitu Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah yang ketika itu merupakan Yang di-Pertuan Agong keempat.

Sejak itu, ia menjadi tarikan utama pelancong untuk membeli produk warisan Terengganu seperti batik, songket, makanan tradisional, tembaga dan kraf tangan.

Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang ketika itu diterajui Tan Sri Noh Omar meluluskan pembinaan semula Pasar Besar Kedai Payang yang agak uzur demi keselesaan pengunjung pada tahun 2018.