• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Pasar Malam Dibenarkan Beroperasi

KUALA TERENGGANU, 9 Februari - Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) bersetuju memberi kebenaran kepada peniaga yang telah mendapat kelulusan tapak pasar malam daripada pihak majlis untuk beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Shahidan Embok berkata, kebenaran operasi di pasar malam Kuala Terengganu dan Kuala Nerus itu bagaimanapun perlu mematuhi syarat yang ditetapkan MBKT.

Katanya, waktu operasi yang dibenarkan adalah dari pukul 4 petang hingga 10 malam sahaja.

"Aktiviti jualan yang dibenarkan adalah makanan dan minuman, bahan makanan segar dan bahan mentah.

"Hanya penjaja yang dilesenkan oleh MBKT dan mematuhi keluasan tapak dan lokasi ditetapkan sahaja dibenarkan untuk berniaga," ujarnya menerusi notis pemberitahuan yang dikeluarkan pihak MBKT.

Katanya, laluan keluar dan masuk yang berasingan dan laluan satu hala sahaja dengan jarak antara gerai peniaga antara 1.5 meter sehingga 2.0 meter perlu diwujudkan.

"Hendaklah mengawal atau menghadkan bilangan pengunjung dan pembeli dalam satu tempoh masa bagi memastikan jarak fizikal satu meter antara pengunjung.

"Semua jenis jualan hanya dibenarkan dijual secara bungkus sahaja dan kanak-kanak (12 tahun ke bawah) dan warga emas (60 tahun ke atas) tidak dibenarkan masuk ke kawasan tapak pasar malam," ujarnya.

Disamping itu katanya, pelanggan dan peniaga wajib memakai pelitup muka dengan betul sepanjang masa.

"Termasuk perlu mengadakan kawalan anggota RELA di laluan keluar dan masuk sepanjang tempoh operasi dan mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Alat penyukat suhu, hand sanitizer, buku rekod kehadiran pelanggan dan kod
imbasan aplikasi Mysejahtera juga perlu disediakan," ujarnya.

Shahidan berkata, kegagalan mematuhi syarat yang diatas boleh dikenakan denda RM1,000 (Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan penganjuran pasar malam boleh dibatalkan. - Gambar Fail.