• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Pasar Payang Baharu Bakal Dibina Tahun Depan


Kerja-kerja meroboh Pasar Payang untuk melancarkan projek pembangunan semula Kompleks Pasar Payang baharu bagi menyediakan prasarana perniagaan lebih sempurna, dijangka bermula Jun depan.

Manakala  Pasar Payang baharu akan dibina sebaik sahaja selesai kerja-kerja itu dan peniaga berpindah ke pasar sementara di Pulau Warisan. 

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Dato’ Mohd Jidin Shafee berkata, ianya akan dilakukan secara berperingkat- peringkat supaya tidak menjejaskan kunjungan pelancong ke tempat tumpuan itu khususnya sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2017.

“Semuanya sudah berjalan lancar cuma tinggal kaedah untuk kita melaksanakannya sahaja. Kita fokus kepada bahagian perpindahan dan susun atur balik kepada peniaga-peniaga disini.

Setiap permasalahan berkaitan penempatan perpindahan sementara peniaga di Pasar Payang sudah dibincangkan menerusi pertemuan dan rundingan bersama peniaga serta ahli Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Negeri Terengganu,” ujarnya kepada pemberita pada program Gotong Royong Pasar Payang Sempena Sambutan TMT 2017, di pasar tersebut, hari ini.


Turut hadir, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Mohd. Zulkiflie Abu Bakar.

Menurut beliau, bangunan pasar lama itu akan diroboh sepenuhnya berikutan hasil kajian daripada pihak Jabatan Kerja Raya mendapati bangunan tersebut sudah tidak selamat untuk digunakan.

"Pembinaan Pasar Payang baharu yang bernilai RM78 juta bagi menggantikan pasar sedia ada yang dilihat semakin uzur itu pastinya memberi keselesaan kepada para peniaga dan pengunjung," katanya.

Tag: