Pasar Pengkalan Berangan ‘Hidup’ Dengan Adanya Medan Ilmu

MARANG, 23 April – Pasar Pengkalan Berangan berupaya menjadi medan ilmu bagi pendakwah mendekati masyarakat untuk menyebarkan ajaran Islam secara santai.

Melalui program berkala ‘Medan Ilmu Pengkalan Berangan’, ia bukan sahaja bertindak sebagai platform menyatukan kelompok masyarakat, tetapi dalam masa yang sama membolehkan orang ramai yang membeli dan berjualan mendengar pengisian rohani.

Bagi Noor Rozali Jusoh yang telah lima tahun berniaga di pasar berkenaan mengakui, Pasar Pengkalan Berangan dilihat 'hidup' setelah adanya Medan Ilmu Pengkalan Berangan.

“Ia biasanya diadakan sebulan sekali (minggu ketiga) iaitu pada hari Selasa, jika hari biasa tidak ramai pengunjung tetapi pada hari yang diadakan program medan ilmu ramai yang datang.

“Secara tidak langsung ia turut membantu peniaga di sini apabila ramai yang membeli jualan mereka, bagi saya memang bagus buat program sebegini, kalau buat seminggu sekali pun lagi bagus,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program Medan Ilmu Pengkalan Berangan yang disampaikan oleh Pengarah Akademi Didik Ulamak Amilin Terengganu (DUAT), Zulkhairi Ngah, semalam.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong.

Sementara itu seorang pengunjung, Awang Botok turut menyokong sekiranya program berkenaan diadakan lebih kerap. 

“Program medan ilmu ini kalau boleh seminggu sekali, atau dua minggu sekali dalam sebulan.

"Jadi peniaga pun suka bila tengok ramai orang datang membeli jualan mereka, kalau sebulan sekali ni kita pun kadang-kadang tak ingat, kalau tak tengok WhatsApp jadi tak tahu,” ujarnya.


Tag: