• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Pasar Tani Mesra Rakyat Tawar Harga Murah Sehingga 20 Peratus

Ahmad Razif sempat meluangkan masa mengunjungi gerai jualan sayur-sayuran pada Pasar Tani Mesra Rakyat Gong Badak, Kuala Nerus. Foto oleh Harish Fadzillah Kasim.

Pasar Tani Mesra Rakyat yang dianjurkan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menawarkan pengurangan harga barangan komoditi dari lima hingga 20 peratus.

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, inisiatif FAMA berjaya membuka satu lagi konsep untuk menyediakan jualan harga patut kepada rakyat.

Katanya, perkara paling penting adalah barangan yang dijual tersebut tidak melibatkan orang tengah dan ianya ditawarkan terus kepada pengguna.

"Jadi kerana itu ia dapat menawarkan barangan dengan harga yang lebih murah dan satu lagi yang saya nampak tadi ada juga konsep 'tabaruk' iaitu menderma kemudian diagihkan kepada orang yang memerlukan.

"Saya haraplah 'tabaruk' ini dapat dikembangkan. Bagi orang yang berkemampuan masa inilah mereka boleh menghulurkan bantuan melalui menderma barangan-barangan yang terpakai," katanya.


Beliau ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan di Pasar Tani Mesra Rakyat Gong Badak, Kuala Nerus, hari ini.

Turut hadir isteri Menteri Besar, To' Puan Seri Halina Zakaria; Datuk Bandar Kuala Terengganu, Samiun Saleh dan Pegawai Pembangunan Kuala Nerus, Dato' Basir Ismail.

Pada program tersebut, beberapa pengisian lain telah dilakukan oleh pihak FAMA yang melibatkan pengurangan harga barangan seperti Jimat Belanja Dapur (JBD), Jualan My Best Buy serta penglibatan usahawan Karavan Tani.

Bagi JBD, ianya menawarkan pengurangan harga jualan lima hingga 20 peratus barangan komoditi seperti barangan runcit, ayam, ikan, buah-buahan dan sayur-sayuran.

Manakala My Best Buy pula menawarkan harga jualan lima hingga 20 peratus lebih menjimatkan bagi komoditi barangan kawalan seperti minyak masak, tepung gandum dan gula.

Tag: