PASTI Jadi Rebutan Ramai
KEMAMAN, 13 Februari - Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) kini menjadi tumpuan kepada ibu bapa bagi mendapatkan pembelajaran awal sebelum memasuki ke alam persekolahan bagi anak-anak mereka.
Pegawai Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Bahagian Latihan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Ustaz Mohamad Mujahid Mokhtar berkata masyarakat sekarang lebih peka dan bijak memilih institusi mana yang terbaik untuk anak-anak mereka.
"Silabus sistemetik yang ditawarkan di PASTI telah diiktiraf oleh pelbagai pihak dan menempa nama sebagai prasekolah berteraskan Islam yang terbaik di Malaysia.
"Alhamdulillah, kita dapat melihat mutakhir ini berbondong-bondong ibubapa memilih menghantarkan anak-anak mereka bagi mendapatkan pembelajaran awal Islam yang ditawarkan di Tadika PASTI," ucapnya ketika merasmikan Majlis Anugerah Prestasi PASTI Al-Mahabbah di Dewan Habib Noh, Bukit Kuang kelmarin.
Menurut beliau, sambutan menggalakkan dapat dilihat dengan jelas sebagaimana yang berlaku pada PASTI Al-Mahabbah di Bukit Kuang ini, pada tahun 2018 hanya seramai 70 orang pelajar yang ada, tapi kini telah mencecah kepada 120 pelajar dan terus meningkat.
"Pihak pengurusan terpaksa mencari alternatif bagi menyediakan prasarana yang lebih selesa kepada pelajar seperti sekarang ini dan menambah jumlah guru bagi menampung permintaan yang semakin mencanak sejak kebelakangan ini.
"Kami mengharapkan agar putera puteri cilik kita ini akan menjadi insan yang bertaqwa dan berjasa kepada negara satu hari nanti dalam pembentukan sebuah negara yang lebih islamik," katanya.