• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Pasukan Besut Juara Takraw Burung Baru

DUNGUN, 27 Oktober - Pasukan Besut mengungguli Kejohanan Sepak Takraw Burung Baru sekaligus dinobatkan sebagai juara dan membolot hadiah RM200 beserta pingat dan hamper.

Kejohanan yang dianjurkan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Burung Baru itu telah disertai lapan pasukan yang menggunakan nama daerah-daerah di Terengganu.

Ketika berucap di majlis penutup kejohanan yang diadakan di Gelanggang Takraw kampung tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun memuji penglibatan yang dimainkan oleh MPKK, pengusaha dan komuniti setempat di dalam memupuk semangat kerjasama untuk menjayakan program kemasyarakatan.

"Tahniah juga kepada penganjur yang berjaya mengadakan kejohanan ini dalam suasana budaya norma baharu dengan bukan sahaja mematuhi Tatacara Pengendalian Piawaian (SOP) tetapi juga patuh syariah," katanya.

Pada majlisc tersebut, beliau turut menyampaikan hadiah kejuaraan kepada kumpulan Besut, naib juara kumpulan Dungun, Kumpulan Hulu Terengganu dan Setiu di tempat ketiga. 

Dalam pada itu, Alias turut mengingatkan peserta agar tidak meninggalkan solat yang merupakan tiang agama ketika bersukan, beriadah dan sebagainya.

"Main sukan, main sukan jugak tapi bila masuk waktu Maghrib tu balik rumah, tunaikan solat, yang lebih baik lagi solat berjemaah di masjid atau surau, mati tidak mengira umur," ujarnya.


Tag: