• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Pasukan Bomba Sukarela Perlu Diberi Elaun Khas

 

KUALA LUMPUR, 7 Disember– Pasukan Bomba Sukarela merupakan diantara komponen penting membantu masyarakat terutamanya ketika berdepan kecemasan dan kebakaran yang tidak diduga.

Oleh kerana itu kerajaan perlu menjaga kebajikan mereka dengan diberi sedikit insentif dalam bentuk elaun khas. 

Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir mencadangkan perkara berkenaan diatas khidmat mereka selama ini sebagai tenaga sukarelawan dalam membantu anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

 Tanpa dibayar sebarang elaun selama ini, mereka telah bertungkus lumus membantu dan menjadi pasukan awal yang tiba di setiap lokasi kejadian apabila berlakunya bencana atau kebakaran.

"Saya mendapat maklumat  selama ini setiap pasukan hanya diperuntukkan RM3,000 setahun untuk kos peyelenggaraan, minyak dan lain-lain.

"Jika mereka berbelanja lebih daripada kos tersebut, mereka perlu menanggung sendiri kos berkenaan," katanya

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapannya dalam sesi perbahasan hari ini, di Dewan Rakyat, semalam.

Katanya, insentif berkenaan adalah untuk menjadikan mereka lebih bersemangat dalam menjalankan tugas mereka.

"Di samping itu juga  perlu  disediakan peralatan kebombaan yang mencukupi kepada pasukan sukarelawan ini supaya mereka dapat berperanan dengan lebih efisien dan efektif sebagai tenaga sokongan membantu anggota bomba ketika kes-kes kecemasan ini berlaku," ujarnya.

Dalam pada itu Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan melalui Timbalan Menteri, Dato' Sri Ismail  Abd. Muttalib menyatakan kerajaan mengambil maklum dan akan memperhalusi usul untuk menambah baik pasukan Bomba Sukarela dan mengakui bahawa setakat ini kerajaan hanya memperuntukkan RM3,000 bagi pasukan ini.

 


Tag: