• 08 Mei 2024 | 29 Syawal 1445

Pasukan Ragbi Mahu Hadiah Kemenangan Buat Sultan Terengganu

KUALA TERENGGANU, 2 Oktober- Pasukan Ragbi Terengganu bertekad menjuarai Ragbi Piala Agong 2023 sebagai hadiah kepada DYMM Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Baginda, tahun ini.

Presiden Persatuan Ragbi Terengganu, Amir Amri Mohamad berkata, pasukannya berhasrat merampas kembali kejuaraan daripada juara bertahan iaitu pasukan Putrajaya, juga sebagai hadiah kepada Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin yang mencemar duli berkenan menjadi antara tonggak pasukan itu bagi saingan kali ini.

"Tahun ini Alhamdulillah, Baginda mencemar duli untuk bersama pasukan dan ini memberikan impak kepada semangat pemain.

 "Baginda masuk sebagai pemain gantian untuk membantu kita mencatat dua try terakhir pada kemenangan 72-6 ke atas Selangor, tempoh hari," katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), hari ini.

Tambahnya, dalam perlawanan pertama menentang Selangor, pasukan masih lagi mencari kesesuaian posisi bagi pemain-pemain.

Foto: Persatuan Ragbi Negeri Terengganu

"Selangor tiada pemain import dan ini merupakan peluang kepada kita menilai pemain yang rata-rata sudah lama tidak beraksi. Pada 'game' itu, kita mahu lihat komitmen dan dari segi kesesuaian posisi pemain import terutama dari Fiji.

"Saingan kita antaranya ialah pasukan Sabah, yang kembali beraksi pada tahun ini. Selain itu, pasukan PDRM dan juara bertahan tahun lalu, Putrajaya.

"Pada aksi terakhir kumpulan nanti (7 Oktober), kita mahu menang dengan Negeri Sembilan untuk mengungguli kumpulan kerana secara psikologinya ingin menunjukkan kepada lawan bahawa Ragbi Terengganu harus diberi perhatian," katanya.

Ragbi Piala Agong 2023 berlangsung bermula 23 September sehingga 21 Oktober ini dan boleh ditonton secara langsung di laman Facebook Malaysia Rugby dan Ragbi Online.

 


Tag: