• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

'Patuh SOP, Balas Pengorbanan Frontliners' - Pesakit COVID-19

KUALA TERENGGANU, 23 Mei – Rakyat di Malaysia dan Terengganu khususnya dirayu supaya serius dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung penularan COVID-19 bagi membalas segala penat lelah petugas barisan hadapan.

Pesakit COVID-19, Abdul Halim Zakaria, 33, berkata, trend peningkatan kes di Terengganu dalam beberapa hari ini memerlukan kesatuan antara rakyat, petugas kesihatan dan kerajaan.

"Masyarakat perlu mengingati pengorbanan frontliners dan berusaha untuk mengekang wabak dengan mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Mereka ini tiada masa untuk diri sendiri, ada yang mula kerja pagi sehingga malam dan sentiasa bergerak ke hulu hilir dalam pakaian pelindung diri (PPE).

“Besar pengorbanan mereka dari sudut kerja jiwa dan masa, mereka juga ada keluarga namun demi keselamatan negeri dan masyarakat, itu daripada sudut saya sebagai pesakit yang telah saksikan disebalik tabir,” katanya lagi.

 “Kita siapa bagi mereka, kita tidak kenal sesama sendiri namun saya telah saksikan suatu pengorbanan besar daripada frontliners,” luah seorang pesakit COVID-19 menceritakan pahit getir para petugas barisan hadapan ketika ditemubual Urus Setia Penerangan Darul Iman.

Menceritakan jasa besar petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Halim menyifatkan sikap profesional mereka sangat tinggi walaupun terpaksa berdepan pelbagai karenah pesakit.

“Pesakit pula masing-masing ada karenahnya, kalau kita lihat dengan mata kepala kita, banyak jasa diberikan dalam memastikan kita mendapat layanan dan rawatan terbaik,” tambahnya.

Menurut Halim, kebanyakkan pemandu ambulans mengambil pesakit positif COVID-19 dari daerah lain termasuk hingga ke Besut dan Dungun untuk ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC), Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) Cawangan Chendering.

“Bayangkan memandu sehingga dua jam dalam ketebalan pakaian pelindung diri (PPE), itu antara pelbagai sumbangan besar yang kita perlu tahu.

"Jadi, hargailah pengorbanan mereka, sama-sama kita putuskan rantaian COVID-19," jelasnya.