• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

KUALA TERENGGANU, 3 Disember - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok, Muhammad Khalil Abdul Hadi menasihatkan penduduk di kawasan yang terjejas banjir agar segera berpindah ke pusat pemindahan apabila diarah berbuat demikian oleh pihak berkuasa.

Katanya, penduduk tidak perlu menunggu sehingga keadaan bertambah teruk sebelum bersedia untuk berpindah ke pusat pemindahan.

“Pastikan peralatan elektrik diletakkan di tempat yang selamat dan matikan suis elektrik sebelum meninggalkan rumah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Chendering, hari ini.

Turut hadir, ADUN Wakaf Mempelam Wan Sukairi Wan Abdullah dan Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Soud Said.  

Menurut beliau, setakat pukul 10 pagi tadi jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di PPS SK Chendering adalah seramai 86 orang melibatkan 26 buah keluarga.

Dalam pada itu, beliau turut meminta orang ramai terutama mangsa banjir supaya mengelak daripada bermain air di kawasan banjir kerana ia boleh memudaratkan dari aspek keselamatan dan kesihatan.

Terdahulu, Muhammad Khalil serta kakitangan Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Batu Burok telah meninjau dan membantu penduduk terjejas banjir di beberapa kawasan seperti Kondo Cerong Binjai, Kuala Ibai, Kampung Nibong dan Kampung Kubang Ikan serta beberapa kawasan lain.

“Proses pemindahan mangsa banjir ke SK Chendering malam tadi berjalan lancar dan kita turut mendapat kerjasama dan bantuan daripada pihak bomba, Angkatan Pertahanan Awam serta sukarelawan Pemuda PAS dan Jabatan Amal,” ujarnya.