• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

Paya Bunga Hotel Terengganu Kini Dibuka


Dr. Ahmad Samsuri menurunkan tandatangan sebagai gimik perasmian Paya Bunga Hotel Terengganu.
KUALA TERENGGANU, 30 Disember - Paya Bunga Hotel Terengganu, hotel patuh syariah yang berada di tengah-tengah bandar raya Kuala Terengganu kini dibuka untuk operasi.

Berkonsepkan moden kontemporari, hotel dengan 208 buah bilik itu menawarkan kemudahan eksklusif kepada tetamu dari segenap lapisan masyarakat untuk bersantai sambil menikmati pemandangan indah Bandaraya Warisan Persisir Air.

Pengerusi Lembaga Pengarahnya, Dato' Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, bagaimanapun disebabkan beberapa masalah teknikal Paya Bunga Hotel pada masa kini hanya menyediakan 90 buah bilik dan selebihnya dijangka akan dibuka sepenuhnya bermula Mac depan.


Pembinaan hotel ini sudah siap cuma ada beberapa perkara kecil yang perlu dibaiki seperti bilik air dan sebagainya.

“Yang sudah dibuka itu semua dalam keadaan sempurna cuma sebahagian bilik sahaja belum lengkap sepenuhnya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Perasmian Paya Bunga Hotel Terengganu yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Camellia Grand Ballroom, Paya Bunga Hotel Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ A. Rahman Yahya.


Katanya, hotel berkenaan menyediakan tujuh jenis bilik dengan harga terendah sekitar RM200.

“Lebih menarik Paya Bunga Hotel turut menawarkan promosi di mana untuk Disember hingga 15 Januari ini harga bilik bermula dari serendah RM75.

"Malah lokasi strategik hotel ini bukan sahaja memberi pemandangan yang indah, tetapi juga memberi peluang kepada tetamu untuk menikmati kemudahan yang disediakan dengan tiga kompleks di sekelilingnya iaitu Paya Bunga Square, Paya Bunga Sentral dan Paya Bunga Plaza," ujarnya.

Katanya, dengan  adanya dua jambatan yang menghubungkan  antara hotel dan kompleks-kompleks tersebut, tetamu dapat menikmati  kemudahan seperti Pusat Transformasi Bandar (UTC), Panggung Wayang LFS dan Pusat Bowling Coral Crown Bowl.

Tambah beliau, tetamu juga boleh menikmati pemandangan ‘rooftop’ yang indah sekitar bandar raya ini dari perkarangan kolam renang Paya Bunga Hotel Terengganu.

Kolam renang yang berada di tingkat 11 merupakan kolam renang aras tinggi pertama di Kuala Terengganu dan menawarkan pemandangan 360 darjah bandar Kuala Terengganu kepada tetamu,” ujarnya.

Tag: