• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Payang Walk Tingkat Pendapatan 400 Peniaga Kecil

KUALA TERENGGANU, 22 Julai – Payang Walk dan Operasi Beca Warisan membuka peluang buat sekitar 400 peniaga kecil termasuk pengusaha beca untuk menambah pendapatan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata buat masa sekarang, sebanyak 100 peniaga diberi peluang untuk menjalankan operasi perniagaan di Payang Walk.

Katanya, jumlah tersebut akan bertambah sehingga mencapai maksimum 400 orang sekiranya mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada pengunjung.

“Program ini dianjurkan bagi menggerakkan sektor pelancongan sebagai ekonomi daerah Kuala Terengganu.

“Secara tidak langsung meningkatkan lagi imej Pasar Kedai Payang sebagai ikon pelancongan Terengganu.

“Di samping, menghidupkan kembali warisan kesenian dan kebudayaan negeri kita yang makin lama makin pudar ditelan arus modenisasi,” jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Payang Walk dan Operasi Beca Warisan bertempat di Pesisir Payang, Kuala Terengganu di sini semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Dr Alias Razak, Yang Dipertua Dewan Undangan (DUN) Terengganu, Datuk Yahaya Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja dan Datuk Bandar Kuala Terengganu, Rosli Latif.

Tambah Ahmad Samsuri, cadangan itu dapat mengalakkan aktiviti 'retail street culture' dan juga dapat mengekalkan warisan tradisi tempatan.

“Pelbagai segmen aktiviti yang akan ditonjolkan seperti aktiviti jualan barangan tempatan, aktiviti jualan makanan tradisional tempatan dan juga persembahan kebudayaan dan kesenian," katanya.

Beliau berkata, berkuatkuasa hari pada setiap hari Jumaat, tiga jalan utama iaitu Jalan Sultan Zainal Abidin, Jalan Bandar dan Jalan Kampung Cina akan ditutup kepada semua kenderaan bermotor.

"Penutupan itu berlaku selama sembilan jam bermula 3 petang sehingga 12 tengah malam.

“Pengunjung hanya dibenarkan menaiki beca untuk membeli belah di sepanjang pinggiran Payang Walk.

“Semoga usaha Kerajaan Negeri bersama Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) ini dapat merancakkan lagi sektor pelancongan di negeri kita sekali gus membantu meningkatkan ekonomi penduduk setempat," ujarnya.