• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

PBKSB Jalin Kerjasama Dengan PETRONAS, Pengendali Petroleum

KUALA TERENGGANU, 25 Jun - Pangkalan Bekalan Kemaman Sdn Bhd (PBKSB), anak syarikat Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad) telah menandatangani kontrak bersama PETRONAS Carigali Sdn Bhd (PCSB) dan lapan Kontraktor Pengendali Petroleum (PACs) lain.

EPIC Berhad dalam satu kenyataan memaklumkan, jalinan kerjasama strategik tersebut bagi perkhidmatan fasiliti pangkalan bekalan dan sewaan di Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB).

Menurut kenyataan itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Hanafiah Mat dalam ucapan beliau menyatakan, pihaknya menghargai sokongan tidak berbelah bahagi PETRONAS dan PAC lain yang terlibat. 

“Kontrak ini adalah penting bagi PBKSB kerana ia bukan sahaja mengukuhkan kedudukan syarikat sebagai penyedia kemudahan pangkalan bekalan tetapi juga menggalakkan pembangunan bakat tempatan dalam bidang aktiviti operasi. 

“Kami berharap untuk terus menjalin hubungan kerjasama yang akan memacu pertumbuhan industri minyak dan gas tempatan,” ujarnya.

Beliau yang juga Pengerusi PBKSB berkata demikian ketika berucap di Majlis Menandatangani Perjanjian Penyediaan Fasiliti, Perkhidmatan Dan Sewaan Antara PBKSB dan Kontraktor- Kontraktor Pengendali Petroleum di Mandarin Oriental, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Hadir bagi menyaksikan majlis tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC, Ridzuan Ali serta Pengurus Besar Kanan PETRONAS, Wan Asmawadi Wan Mohd. 

Pada majlis itu, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan EPIC, Muhtar Suhaili menandatangani kontrak-kontrak bersama Pemangku Pengurus Besar PBKSB, Suhardi Akil Awang @ Hassan mewakili pihak syarikatnya dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan EPIC, Wan Mohd Azilah Wan Abdullah.

Ujar kenyataan itu, KSB adalah fasiliti bekalan minyak dan gas berintegrasi terbesar di Semenanjung Malaysia merangkumi keluasan 200 hektar secara keseluruhan, dengan tambahan 60 hektar yang ditetapkan untuk pertumbuhan di masa hadapan.

“Sepanjang tempoh kontrak, PBKSB akan menyediakan kemudahan dan perkhidmatan seperti peralatan pengendalian bahan (MHE), tenaga kerja berkaitan MHE, pengurusan pangkalan bekalan dan perkhidmatan sokongan gudang, serta perkhidmatan bersepadu bagi operasi PETRONAS di Semenanjung Malaysia dan lapan PACs lain,” jelas kenyataan itu.