• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

PBSM Hantar Tiga Tan Barang Keperluan Kepada Mangsa Banjir

HULU TERENGGANU, 1 Mac- Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Malaysia mula menghantar bantuan fasa pertama kepada mangsa banjir di Hulu Terengganu.

Timbalan Setiausaha Agung PBSM, Datuk Danial Iskandar berkata barangan tersebut berupa makanan, minuman, lampin pakai buang, tuala wanita serta ubat-ubatan kepada mangsa banjir.

"Kami turut menjalankan pemeriksaan kesihatan bagi mengelak penularan penyakit berjangkit bawaan air. 

"Kanak-kanak, warga emas dan sesiapa sahaja yang ada penyakit berjangkit boleh datang ke ambulan kami.

"Selain itu kami turut membawa ribuan kit ujian Covid-19 bagi  memastikan mereka dapat memantau sebarang gejala dengan berkesan dan persediaan diri daripada sebarang wabak Covid-19,"ujarnya kepada pemberita di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Masjid Kampung Sekayu, di sini hari ini.

Berdasarkan penelitian awal, Danial berkata, sumbangan akan diteruskan ke PPS lain yang berdekatan seperti Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Setar, SK Bukit Gemuruh.

"Barangan keperluan yang akan dihantar bergantung kepada keperluan mangsa di PPS," jelasnya.