• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

PBT Kesan Lima Resort Di Pulau Perhentian Beroperasi Tanpa Kelulusan

KUALA TERENGGANU, 5 Jun - Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Besut mengesan lima resort di Pulau Perhentian yang didapati tidak menyelenggarakan sisa kumbahan dengan baik masih beroperasi tanpa kelulusan.  

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Dr Alias Razak berkata, bangunan dan sisa kumbahan tersebut tiada kelulusan Majlis Daerah Besut dan telah dikeluarkan notis berulang kali tetapi masih ingkar.

"Dua tahun lepas mereka telah dikompaun maksimum sebanyak RM50,000 dan kes tersebut masih dalam proses tindakan undang-undang," katanya kepada pemberita.

Alias berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah portal berita yang melaporkan kes keracunan makanan didakwa berpunca daripada air tercemar akibat sisa kumbahan tidak dirawat di lokasi peranginan itu yang tular di media sosial pada Sabtu.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata pihaknya masih menjalankan siasatan sama ada kes keracunan yang dialami pelancong tempatan itu mempunyai hubung kait dengan sisa kumbahan. 

"Kes keracunan makanan masih dalam siasatan Pejabat Daerah Besut sama ada berkait atau tidak dengan sisa kumbahan sebagaimana yang didakwa," katanya.