• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

PCCM Minta Tubuh Pusat Latihan Cendawan Terengganu




HULU TERENGGANU,  28 Januari- Persatuan Penyelidikan Cendawan Malaysia (PCCM) Zon Timur   berharap  kerajaan negeri membuka  Pusat Latihan Cendawan Terengganu (PLCT) bertujuan melahirkan lebih ramai pengusaha cendawan profesional.

Pengerusi persatuan itu, Hasmi Hassan, berkata pada masa sama mampu  menjalankan Penyelidikan Teknologi dan Pembangunan (R&D) dengan kerjasama pelbagai agensi berkaitan dan universiti.

Katanya, masyarakat setempat boleh mengikuti pelbagai kursus yang ditawarkan PLCT termasuk berkaitan industri huluan, hiliran dan tanaman.

“Industri huluan memberi fokus berkaitan bagaimana menghasilkan dan memproses bahan utama untuk tanaman cendawan.

“Sebelum ini kebanyakan pengusaha cendawan hanya bergantung harap kepada habuk kayu getah. Dengan R & D yang dijalankan, mereka boleh menggunakan jerami padi sebagai ganti. Langkah itu dilihat lebih murah dan menguntungkan,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Pengusaha Kulat Terengganu di Kompleks Ajil, di sini, hari ini.


Majlis itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim

Hasmi turut memberitahu, dengan adanya PLCT, pihaknya boleh menekankan industri hiliran secara serius bagi membolehkan pelbagai produk berasaskan cendawan dipasarkan ke serata negeri.

“Antara produk terbaru yang dihasilkan pengusaha, cendawan celup tepung sejuk beku, murtabak, sos, bebola, burger dan perencah masakan.

“PLCT  dianggap penting kerana mampu melahirkan pengusaha cendawan yang lebih komited, berilmu dan berdaya saing yang mampu memperoleh pendapatan RM1,000 sehingga RM5,000 sebulan,”katanya



Tag: