lightning-solid
Berita :
PDRM Setiu Lancar Kerangka Antibuli SAFE Perkukuh Keselamatan Sekolah
PDRM Setiu Lancar Kerangka Antibuli SAFE Perkukuh Keselamatan Sekolah
Ariss Alias
1 jam yang lepas
49

SETIU, 27 Julai- Polis Diraja Malaysia (PDRM) Daerah Setiu semalam melancarkan School Anti-Bullying Framework for Empowerment (SAFE) atau Kerangka Antibuli Sekolah Untuk Pemerkasaan bagi memperkukuh usaha mencegah gejala buli dan mewujudkan persekitaran sekolah yang lebih selamat. 

Majlis pelancaran di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pelong itu disempurnakan Ketua Polis Daerah Setiu, Supt. Zahril Asri Mohd Zain, sebagai sebahagian daripada kerjasama strategik antara PDRM dan institusi pendidikan dalam membendung jenayah serta gejala sosial di sekolah. 



Turut hadir pegawai Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu, pihak pengurusan sekolah, 38 guru dan 292 pelajar.

Sempena program itu, Zahril Asri turut mengadakan pemeriksaan mengejut (spot check) dan lawatan omnipresence di kawasan sekolah bagi menilai tahap keselamatan, di samping meningkatkan kehadiran polis sebagai langkah pencegahan jenayah serta memberi keyakinan kepada warga sekolah. 


Program berkenaan turut diisi dengan sesi penerangan kepada warga pendidik mengenai jenayah penipuan dalam talian (scammer), termasuk modus operandi terkini dan langkah pencegahan bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa.

Selain itu, ceramah berkaitan isu buli di sekolah disampaikan dengan memberi penekanan terhadap kesan psikologi kepada mangsa, implikasi undang-undang terhadap pelaku serta peranan guru dalam mengesan dan membendung gejala berkenaan.
Pelaksanaan SAFE diharap dapat memperkukuh kerjasama antara PDRM dan institusi pendidikan dalam membentuk persekitaran pembelajaran yang selamat, harmoni dan bebas daripada jenayah, selaras dengan aspirasi "Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada."


Tag :

Artikel Berkaitan