• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

PDRM Terengganu Rekod Kutipan Saman Lebih RM 6 Juta

KUALA TERENGGANU, 13 Disember - Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu merekodkan kutipan lebih RM6.09 juta bayaran saman menerusi tawaran diskaun saman trafik sempena program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia yang bermula sejak Khamis lalu.

Ketua Polis Negeri, Dato Rohaimi Md Isa berkata  nilai kutipan itu membabitkan jumlah saman sebanyak 371,042 yang berjaya dilangsaikan bermula 9 Disember sehingga semalam.

“Sejumlah 32,129 orang pengunjung telah hadir membuat bayaran di kaunter bermula dari hari pertama pelaksanaan sehingga kaunter ditutup pada jam 6.00 semalam,”ujarnya dalam satu kenyataan.

Rohaimi turut menasihati orang ramai agar membuat perancangan untuk menyelesaikan saman trafik dan tidak menunggu pada saat akhir agar tidak berlaku kesesakan semasa mengunjungi kaunter saman kelak.

Dalam pada itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani turut mengumumkan tempoh diskaun bagi pembayaran saman trafik akan dilanjutkan sehingga 31 Disember ini.

Lanjutan dilakukan bagi memberi peluang kepada orang ramai mengambil sedikit masa menyelesaikan saman tertunggak selain mengelakkan kesesakan di kaunter-kaunter bayaran saman.

Pengurangan kompaun 80 peratus dengan had minima RM30 itu tidak termasuk bagi kesalahan kemalangan, memotong secara berbahaya, menggunakan lorong kecemasan, tidak patuh isyarat lampu merah dan memotong di garisan berkembar.

Kesalahan yang dikategorikan tidak boleh kompaun (NC), berstatus berkaitan kenderaan berat dan pengubah suaian ekzos kenderaan turut ditawarkan pengurangan.