• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Pegawai Aids JKNT Terima Anugerah Bantu Pesakit HIV

Kredit foto : Shafwan Zaidon

KUALA LUMPUR, 12 Disember - Pegawai Aids Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Dr Mahani Nordin menerima Anugerah Tun Dr Siti Hasmah Sunway-Malaysian AIDS Foundation (MAF) atas sumbangannya dalam membantu masyarakat Terengganu terhadap HIV dan Aids.

Beliau merupakan pengasas bersama organisasi berasaskan komuniti, Komuniti Cakna Terengganu (KCT), sebuah organisasi berasaskan komuniti yang menyediakan khidmat pengurangan bahaya kepada bekas pengguna dadah serta rawatan, penjagaan dan sokongan kepada orang yang hidup dengan HIV.

Antara jasanya terhadap golongan tersebut seperti menyumbang seluas satu ekar kepada KCT bagi pembinaan rumah perlindungan untuk membantu mereka pulih dan berintegrasi kembali ke dalam masyarakat.

Dr Mahani berkata, beliau amat berbesar hati dengan pengiktirafan itu dan berterima kasih atas perhatian dalam usaha membantu golongan sasar di Terengganu.

“Pemberian ini memang tidak dijangka. Pada mulanya, saya tidak tahu bahawa akan ada anugerah tahun ini sehingga beberapa rakan dan rakan sekerja saya mencalonkan saya.

"Saya hanya melakukan kerja saya, walaupun saya tahu bahawa ia di luar skop kerja saya tetapi bagi saya, ia amat penting, dan saya tidak menjangkakan akan mendapat anugerah hasil daripada usahanya," katanya sepertimana dilaporkan Malay Mail.

Katanya yang juga antara tiga finalis anugerah tersebut, semangat untuk membantu komuniti HIV bermula pada 2008 ketika membimbing sekumpulan remaja berisiko di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat Terengganu.

"Namun, masalah masyarakat kita ialah, apabila kita melihat anak-anak ini menuju ke arah yang salah, kita membuang mereka.

"Jadi, tiada sesiapa di sana untuk menyelamatkan mereka walaupun mereka masih boleh diselamatkan,” ujarnya.

Pada mulanya, KCT memberi tumpuan kepada pelbagai program pencegahan dan pengurangan bahaya HIV seperti program pertukaran jarum dan program penyelenggaraan metadon.

Pada tahun 2010, KCT dengan pembiayaan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) berjaya membuka rumah perlindungan mereka untuk penghidap HIV di tanah Dr Mahani seluas satu ekar di Hulu Terengganu.

Ladang komuniti di rumah perlindungan Komuniti Cakna Terengganu untuk penghidap HIV. — Gambar ihsan Dr Mahani Nordin

Jelasnya, KCT kini mempunyai sejumlah empat rumah perlindungan di Hulu Terengganu, tiga untuk lelaki yang menghidap HIV manakala satu lagi untuk wanita dan kanak-kanak yang menghidap HIV.

“KCT bersama penghuninya juga telah berjaya menjadikan sebidang tanah kecil di situ sebagai ladang komuniti yang membolehkan penduduk mencari rezeki melalui perusahaan sosial.

“Pihak kami turut bekerjasama dengan kerajaan negeri Terengganu untuk menetapkan tanah seluas tujuh ekar untuk mengembangkan usaha KCT dan mewujudkan rumah serta kemudahan untuk lelaki, wanita dan kanak-kanak yang menghidap HIV/AIDS," katanya.

Pegawai AIDS itu disampaikan hadiah wang tunai RM20,000 serta trofi kristal rekaan khas oleh Sunway Group dan sijil kecemerlangan di MAF Red Ribbon Gala dan Sunway–MAF Tun Dr Siti Hasmah Award 2021 yang berlangsung di Hilton Kuala Lumpur.

Turut hadir, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, Pengerusi MAF Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman, Penaung MAF Datin Paduka Marina Mahathir serta Pengasas Kumpulan Sunway Tan Sri Jeffrey Cheah.