• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Pegawai Maritim Cedera Parah Ditetak Nelayan Vietnam

KUALA TERENGGANU, 6 Julai - Seorang pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Terengganu cedera parah di kepala akibat ditetak oleh salah seorang nelayan asing warga Vietnam.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Khairul Anuar Abd Majid berkata kejadian itu berlaku ketika pasukan berkenaan menjalankan operasi di kawasan perairan pada jarak lebih kurang 148 batu nautika dari Kuala Terengganu sekitar pukul 11.30 pagi tadi.

Katanya, mangsa iaitu Leftenan Muda Maritim Shakir Zufayri Azizul Rahman, 27, ditetak dengan parang oleh salah seorang nelayan ketika melakukan pemeriksaan dalam bot nelayan terbabit.

“Serangan itu berlaku setelah pasukan Maritim Malaysia menahan Bot Nelayan Asing (BNA) berkenaan kerana melakukan aktiviti tangkapan ikan secara haram di perairan Malaysia.

“Ketika nelayan warga Vietnam itu diperiksa telah berlaku tindakan kasar dan menyerang pegawai penguatkuasa,” katanya dalam kenyataan media pada hari ini.

Tambah Khairul, ketika kejadian itu, pasukan penguatkuasa Maritim dapat mengawal keadaan seterusnya menahan 16 orang kru bot terbabit.

Tambahnya lagi, 16 orang itu terdiri daripada seorang tekong dan 15 orang awak-awak.

Beliau berkata, mereka yang cedera dalam pergelutan itu ialah tekong bot dan tiga orang awak-awak.

“Kesemua mereka telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan Pahang dengan menaiki helikopter Maritim Malaysia bagi mendapatkan rawatan segera.

“Terdahulu, mangsa bersama-sama 18 orang pegawai dan anggota Kapal Maritim (KM) Gemia telah menahan sebuah bot yang disyaki BNA yang sedang leka melakukan aktiviti tangkapan ikan di kawasan perairan berkenaan.

“Semasa siasatan dilakukan, kesemua kru bot berkenaan didapati tidak memiliki permit serta lesen yang sah. 

“Rentetan kejadian itu, kesemua kru bot berkenaan telah melakukan tindakan nekad dengan menyerang pegawai dan anggota Maritim Malaysia yang berada di dalam bot berkenaan.

“Kesemua kru BNA terbabit ditahan dibawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia tanpa memiliki sebarang pas yang sah,” ujarnya.

 

 


Tag: