• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Peguam Mohon Terengganu Bertindak Segera, Sedia Beri Kerjasama

KUALA NERUS, 6 Ogos- Kerajaan Terengganu perlu bertindak segera menangani dakwaan penyelewangan dalam tuntutan pampasan berhubung projek mega Taman Ilmu di Tembila, Besut.

Itu gesaan yang disuarakan peguam, Dato’ Abu Backer Sidek ketika membentangkan isu berkenaan kepada pihak media di Raia Hotel, hari ini.

Jelasnya, dengan struktur besar yang dimiliki, kerajaan negeri boleh menghalang pihak terbabit daripada membuat tuntutan pampasan kepada kerajaan.

Abu Backer menunjukkan laporan polis yang dibuatnya.

“Saya menyarankan kerajaan negeri untuk membuat kajian semula kehakiman (judicial review) dan penghakiman persetujuan itu boleh dibawa ke mahkamah untuk membatalkan tuntutan tersebut atas alasan ia dicapai dengan cara penipuan dan rasuah.

“Dengan cara itu, kita boleh batalkan penghakiman dan membuang semua tuntutan kepada kerajaan negeri,” katanya dalam sidang media yang turut disiarkan secara langsung di laman Facebook TV Darul Iman.

Tambahnya, kerajaan negeri juga berpeluang memperolehi semula wang yang telah diberikan kepada pihak terbabit sebagai pampasan sebanyak RM45 juta sebelum ini.

“Berkenaan RM45 juta yang telah dibayar oleh kerajaan negeri lalu, kita berpeluang mendapatkan sebahagian daripadanya sebab polis boleh bertindak atas pelaburan wang haram (money laundering) dengan bukti-bukti yang ada.

“Penilaian saya, kalau dilakukan kita mampu mendapatkan kembali lebih kurang RM25 juta dan mungkin lebih,” katanya yang turut menyatakan sedia untuk berkerjasama dalam menyelesaikan isu tersebut.


Tag: