• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Pejabat DUN Terengganu Terbit Buku Pertama

 

KUALA TERENGGANU, 10 Ogos - Pejabat Dewan Undangan Negeri Terengganu hari ini melancarkan buku pertama terbitan institusi tersebut yang berjudul Perkembangan Dewan Undangan Negeri Terengganu : Pemantapan Dan Cabaran.

Buku yang mengandungi 221 muka surat merangkumi 14 bahagian, serta turut diterjemahkan ke dalam tulisan jawi itu mendapat kerjasama Jawatankuasa Terpilih Pengurusan Dewan Undangan Negeri Terengganu.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, terbitan edisi sulung  berkenaan mampu menambah pengetahuan dan pendidikan politik bukan sahaja dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) malah kepada masyarakat luar.

 

“Pada masa sama mampu mengubah persepsi orang ramai di mana sebelum ini menganggap Speaker Dewan hanya berfungsi ketika persidangan dewan, sedangkan tugas dan tanggungjawabnya cukup luas.

“Antaranya secara inklusif menjalin hubungan baik dengan pelbagai pihak, sebab itu dewan sentiasa dikunjungi pelbagai termasuk daripada pimpinan belia, golongan pelajar dan pelbagai agensi kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di Wisma Darul Iman, hari ini.

Menurut Yahaya, buku tersebut akan diedarkan secara percuma mulai hari ini kepada ketua-ketua jabatan dan pelbagai agensi media, selain bakal menjadi cenderahati kepada tetamu pejabat DUN.

“Saya berharap, apa yang dikongsikan dalam buku itu terutama berkaitan penambahbaikkan badan legislatif dimafaatkan sebaik mungkin oleh pembaca.

“Untuk mempelbagaikan bahan terbitan, pihak kami  turut bercadang akan menerbitkan buku Sejarah DUN, bermula dari awal sehingga kini. Buku itu kini masih di peringkat kajian dan mengumpul bahan,” katanya.

 


Tag: