• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Pejabat SUK Terengganu Terima Anugerah AKKP

KUALA TERENGGANU, 6 Julai- Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Terengganu telah dianugerahkan dengan pengiktirafan lima bintang (cemerlang) bagi Anugerah Khas Keselamatan Perlindungan (AKKP) 2021.

Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali kepada Setiausaha Kerajaan Terengganu, Yang Berhormat Mulia Tengku Seri Bijaya Raja sempena Konvensyen Keselamatan Peringkat Kebangsaan di Putrajaya pada 9 Jun lalu.

“Syabas dan tahniah kepada semua jabatan serta agensi yang terlibat dalam urusan inspektorat AKKP 2021 yang melibatkan sepuluh Bahagian di Pejabat Setiausaha Kerajaan.

“Ini merupakan kali ketiga Pejabat SUK Terengganu diiktiraf lima bintang sejak AKKP diperkenalkan.

"Diharapkan anugerah tersebut menjadi pemangkin dan tanda aras kepada jabatan serta agensi untuk terus kekal cemerlang dan melindungi rahsia-rahsia kerajaan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Warga Kerja Wisma Darul Iman di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini.

Turut hadir, Penasihat Undang-undang Negeri, Dato’ Razali Che Ani, Pegawai Kewangan Negeri, Rozali Salleh serta Pengarah Tanah dan Galian Negeri, Dato’ Zulkifli Ali. 

Sempena perhimpunan bulanan itu juga, beliau turut menyempurnakan penyampaian insentif kecemerlangan sebanyak RM500 berserta sijil penghargaan kepada 37 penerima Anugerah Pekerja Cemerlang Bulanan Wisma Darul Iman bagi bulan Januari hingga Jun 2022.