• 18 Apr 2024 | 9 Syawal 1445

Pejawat Awam Perlu Tingkat Prestasi kerja

KUALA TERENGGANU, 6 Julai - Perubahan landskap global dan negara berikutan pandemik COVID-19 memerlukan penjawat awam meningkatkan prestasi kerja supaya tidak menjejaskan mutu perkhidmatan kepada rakyat dan kerajaan.

Setiausaha Kerajaan Terengganu, Yang Berhormat Mulia Tengku Seri Bijaya Raja berkata, dalam situasi endemik COVID-19 yang masih lagi mengancam kehidupan harian, ditambah pula dengan wabak-wabak baru seperti Influenza dan MonkeyPox, kehidupan perlu diteruskan demi kelangsungan ekonomi negara dan kepentingan rakyat. 

“Suka atau tidak, penjawat awam perlu mengubah cara kerja sesuai dengan situasi semasa dan normal baharu, disamping mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara.

“Setelah hampir dua tahun kita bekerja dari rumah dengan waktu kerja anjal dan kurang pemantauan oleh jabatan,  semua pegawai dan kakitangan diharap dapat menyusun semula jadual kehidupan dan bangkit daripada ‘cuti panjang’ untuk meneruskan kerja seperti biasa,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Warga Kerja Wisma Darul Iman di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini.

Turut hadir, Penasihat Undang-undang Negeri, Dato’ Razali Che Ani, Pegawai Kewangan Negeri, Rozali Salleh serta Pengarah Tanah dan Galian Negeri, Dato’ Zulkifli Ali. 

Sementara itu, beliau turut meminta ketua-ketua jabatan menyemak dan menekankan beberapa perkara pada pasca pandemik ini.

“Antaranya berkaitan kehadiran kakitangan awam ke tempat kerja, cuti rehat, etika pakaian serta tugasan pejabat yang tertangguh ekoran COVID-19,” ujar beliau.

Katanya, semua ketua jabatan perlu mengambil berat perkara tersebut terutamanya di Wisma Darul Iman yang dijadikan contoh dan rujukan bagi jabatan dan agensi diluar sana. 

“Sama-samalah kita menjaga imej penjawat awam Negeri Terengganu,” ujarnya.