• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Pekerja Penghantaran Terima Pek Makanan Percuma

KEMAMAN, 31 Januari - Seramai 300 pekerja penghantaran makanan dan barangan di Kemaman telah menerima pek makanan percuma daripada Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, semalam.

ADUN Chukai, Hanafiah Mat berkata, pekerjaan mereka yang berhadapan dengan pelbagai risiko itu sangat mencabar.

"Mereka sentiasa mengejar masa. Berada di atas jalan raya berhadapan dengan risiko, waktu rehat yang tidak menentu dan sebagainya. Semuanya bagi memastikan segala pesanan yang dibuat oleh pelanggan sampai dengan cepat dan selamat.

"Oleh yang demikian, hari ini kami meraikan mereka dengan mengadakan agihan makanan tengah hari percuma serta memberikan sedikit perbelanjaan untuk isi minyak motosikal.

"Semoga Allah mempermudahkan segala urusan mereka dalam mencari rezeki untuk keluarga," ujarnya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman selepas selesai program.

Program Sebungkus Nasi Setulus Hati tersebut bermula seawal 11.00 pagi dan berakhir pada jam 2.00 petang.

Pengambilan makanan dan duit diadakan secara pandu lalu di pekarangan Pejabat ADUN Chukai.