• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Pelajar Besut Kedua Cemerlang Dunia

KUALA TERENGGANU, 7 Mei – Seorang pelajar yang berasal daripada Kampung Pengkalan Kubor Tembila, Besut meraih pencapaian cemerlang dalam peperiksaan Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) dengan meraih tempat kedua peringkat dunia.

Mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Dungun, Safwa Zamri, 19, menerima Top ACCA Foundation in Accountancy (FIA) Prize bagi kertas ‘FA1-Rekod Transaksi Kewangan’ dengan medapat keputusan cemerlang markah 98 peratus.

Keputusan itu meletakkan dia berada pada kedudukan pertama di Malaysia dan kedua di dunia bagi sesi Mac lalu.

Safwa juga merupakan seorang hafizah al-Quran dan bekas pelajar Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Besut yang memperolehi pencapaian cemerlang 12A ketika peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia serta berjaya hafaz 30 juzuk al-Quran ketika di tingkatan dua.

“Pada awalnya saya tidak menjangka mendapat keputusan paling tinggi di Malaysia dan kedua Dunia kerana pertama kali menceburi bidang akaun di Universiti,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman pada hari ini.

Tambah Safwa, dia merupakan seorang pelajar sains tulen serta agama namun ketika di UITM saya memilih bidang perakaunan berbanding bidang lain kerana minat serta kecenderungan saya pada subjek matematik.

“Pengkhabaran itu diterima dua hari sebelum raya melalui e-mail dan sangat memberi nilai positif dalam hidup saya untuk terus melangkah ke hadapan.

“Kunci kejayaan saya adalah 'habluminallah wa habluminannas' iaitu menjaga hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia sekali gus melaksanakan segala tuntutan dalam agama,” ujarnya.

Sementara itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengucapkan syabas dan tahniah atas kejayaan luar biasa tersebut.

“Sebagai pelajar tajaan Yayasan Terengganu, Kerajaan Negeri amat berbangga dengan pencapaian Saudari Safwa.

“Semoga terus maju ke depan dan menjadi inspirasi kepada orang lain,” jelasnya.

 

 


Tag: