• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Pelajar Cemerlang STPM, STAM Setiu Terima Penghargaan

SETIU, 19 Julai - Seramai 98 pelajar Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan seorang pelajar Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2020 di sini diraikan Ahli Parlimen Setiu atas kejayaan memperolehi keputusan cemerlang.

Kesemua pelajar ini mendapat keputusan 3.0 keatas dan mendapat pangkat ‘Mumtaz' bagi STAM.

Shaharizukirnain Abd Kadir berkata, sebelum ini beliau telah meraikan sejumlah 103 orang pelajar cemerlang bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan hari ini kita teruskan dengan meraikan bagi STPM dan STAM pula.

"Namun disebabkan kita berada di dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) jadi, kita tidak boleh buat majlis besar-besaran bagi meraikan anda semua.

"Cuma saya pergi ke beberapa buah rumah pelajar cemerlang tersebut untuk ucap tahniah sambil bawa sedikit buah tangan. Semoga tahun depan kita boleh buat majlis seperti biasa insya-Allah," katanya baru-baru ini.

Menurut Shaharizukirnain, proses pengagihan saguhati telah telah berjalan bermula pertengahan bulan ini mengikut giliran Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berada di dalam Parlimen Setiu. 

“Yang saya tidak sempat serahkan kita meminta pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serahkan,” jelasnya.

Sementara itu, pelajar cemerlang STPM, Nur Alia Izzah Ghani, 20, yang berasal dari Kampung Sungai Pinang, Chalok berkata dia sangat gembira dan bersyukur kerana memperoleh keputusan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0.

"Alhamdulillah, saya sangat gembira dan bersyukur. Pada mulanya saya terkejut kerana tidak menyangka akan memperolah keputusan yang lebih baik daripada jangkaan saya ini," ujarnya.

Alia berkata, rahsia kejayaanya memperoleh keputusan cemerlang kerana dia menumpukan perhatian penuh semasa guru mengajar sama ada di kelas bersemuka mahupun secara dalam talian.

"Saya sentiasa berfikiran positif walau dalam apa jua halangan memandangkan sekarang lebih banyak kelas secara dalam talian yang mungkin menjadi sedikit penghalang, namun sekiranya mahu berjaya kita kena berfikiran positif.

"Insya-Allah, saya berminat untuk menyambung pengajian dalam bidang Sarjana Muda Ekonomi di Universiti Kebangsaan Malaysia," tambahnya


Tag: